KAJANG — Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh isterinya, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamed Imran Mohamed Yunos, 32, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Syahrul Sazly Md Sain.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Imran didakwa membunuh Azween Noor Alias, 38, di sebuah unit pangsapuri di Jalan Sutera Pines, dekat Hulu Langat, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam, 22 Julai lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran, manakala tertuduh diwakili peguam, P Gunalan.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 September ini bagi sebutan semula kes sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Media melaporkan lelaki itu yang memukul isterinya sehingga mati dalam kejadian di Kajang pada bulan lalu, ditahan ketika menyembunyikan diri di Senai, Johor, 31 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Lelaki itu direman tujuh hari bermula 1 Ogos lalu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Mangsa kes pukul itu dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kajang.
Polis menerima laporan berhubung kematian mangsa daripada seorang jururawat di hospital berkenaan, selepas menyedari wanita itu tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia dengan kesan lebam dan kecederaan di badan, lapor BH Online.