Kuala Lumpur Post

Social

Ahli perniagaan didakwa palsukan borang

JOHOR BAHRU — Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan memalsukan borang pengisytiharan barangan yang akan dieksport, tiga tahun lepas.

Tertuduh Feng Seng, 68, yang turut berdepan dengan 11 pertuduhan pilihan, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan utama dan pilihan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang menjalankan perniagaan penghantaran barang didakwa memalsukan borang pengisytiharan barang yang akan dieksport dengan niat untuk menipu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebanyak 11 kali antara 9 Ogos 2019 hingga 10 Feb 2020, di Cawangan Eksport, Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi 11 pertuduhan pilihan pula, Feng Seng didakwa dengan niat curang menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu invois yang bertujuan dilampirkan bersama borang pengisytiharan barang yang akan dieksport yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk percaya bahawa dokumen itu adalah palsu.

Untuk pertuduhan tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua 11 kesalahan tersebut di tempat dan tempoh yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan agar tertuduh diberi jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri yang mewakili Feng Sheng berkata anak guamnya sedia memenuhi syarat tambahan dan bersetuju dengan tawaran jaminan pihak pendakwaan.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan supaya Feng Sheng perlu melaporkan diri pada setiap bulan di pejabat SPRM.

Kes akan disebut semula pada 7 Nov ini dan untuk serahan dokumen, lapor Bernama.

Tags: ,