Kuala Lumpur Post

Social

Ahli perniagaan kemuka representasi kes lucut hak wang lebih RM80,000

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini, diberitahu ahli perniagaan, Alvin Goh Leong Yeong, telah mengemukakan representasi berhubung permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wangnya berjumlah RM60,232.01 serta wang milik dua syarikatnya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM, Ahmad Akram Gharib, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut.

“Kami memohon prosiding permohonan lucut hak yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan, berikutan responden (Goh) telah menghantar representasi pada 8 April lepas.

“Pihak pendakwaan selaku pemohon telah menerima representasi berhubung cadangan penyelesaian kes itu. Bagaimanapun, saya perlu mendapatkan arahan lanjut daripada bahagian pendakwaan AGC,” katanya.

Peguam, Loi Yap Loong, yang mewakili ahli perniagaan itu mengesahkan perkara tersebut.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 21 Jun untuk mendengar permohonan kes lucut hak itu.

Pada 29 Septembar 2021, SPRM memfailkan notis usul melucut hak wang milik Goh berjumlah RM60,232.01 yang disimpan dalam tiga akaun banknya serta RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik Malaysian House of Internet Sdn Bhd dan Networld Computer (KL) Sdn Bhd.

Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari 2021 didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah, lapor Bernama.

Ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tags: , ,