SHAH ALAM — Seorang ahli perniagaan didenda RM20,000 atau penjara 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan memberi suapan kepada jurutera Tenaga Nasional Bhd (TNB) supaya tidak memotong bekalan elektrik di premisnya antara 2019 dan 2021.
Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan, selepas Ng Yin Wui, 41, mengaku bersalah bagi kesemua kesalahan tersebut.
Mengikut pertuduhan, Ng didakwa memberi lima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM8,000 kepada seorang jurutera TNB berusia 31 tahun sebagai dorongan kepada lelaki itu supaya tidak memotong bekalan elektrik di premis tertuduh atas kesalahan mencuri serta mengubah suai meter elektrik di bawah Seksyen 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990,.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua restoran di Sunway Mentari, Petaling Jaya antara 1 Nov 2019 dan 15 Nov 2021.
Pemilik kilang plastik kitar semula berkenaan didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk denda yang ringan dengan alasan dia penanggung utama keluarga dan perbuatan itu adalah kesalahan pertamanya.
“Saya harap hakim beri saya peluang, saya sangat sedih, saya minta maaf dan berharap tidak dipenjarakan,” rayunya sambil menangis.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) V. Yunaisvari memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam dan jumlah yang terlibat.
“Mahkamah perlu menitik berat hukuman sebagai pengajaran kepada tertuduh, langkah-langkah pencegahan perlu diketat serta ditekankan kepada masyarakat bahawa mahkamah dan undang-undang tidak akan berkompromi dengan kesalahan ini,” katanya.