Social
1K

Ahli perniagaan mengaku tak bersalah atas 2 pertuduhan

Kuala Lumpur – Seorang lelaki yang didakwa memaki peniaga nasi lemak kerana ditegur tidak memakai pelitup muka sehingga tular dalam media sosial dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, J. Shyamalan, 33, mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan iaitu mengaibkan kehormatan dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak memakai pelitup muka yang dibacakan berasingan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai ahli perniagaan didakwa dengan niat untuk mengaibkan kehormatan dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada peniaga wanita terlibat.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan kedai sepetang Jalan Desa Bakti, Brickfields di sini pada pukul 10.30 pagi, 18 Julai lalu.

Pendakwaan bagi kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berikutnya, lelaki itu dituduh di atas dakwaan tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam di lokasi dan pada waktu sama.

Kes berkenaan dibuat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 yang menetapkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah mengenakan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Namun tertuduh diwakili peguam John Das merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan Shyamalan diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 24 Ogos ini untuk sebutan semula kes, lapor Utusan Online.

 

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu