Kuala Lumpur Post

Social

Ahli perniagaan mengaku tak bersalah seleweng RM5.2 juta dana MITRA

IPOH — Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah dana Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah lebih RM5.2 juta pada Januari dan Ogos tahun lalu.

Tertuduh, L Ragu Raman, 52, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Mahkamah di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mengikut lima pertuduhan, tertuduh sebagai seorang ejen Pengarah syarikat Ternakan Kamran Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta dana daripada Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta masing-masing RM3,562,725.86; RM300,000; RM500,000, RM300,000 dan RM400,000.

Bapa kepada seorang anak berusia 15 tahun itu didakwa melakukan kesalahan di CIMB Bank Cawangan Teluk Intan di Jalan Pasar pada 29 Januari 2021.

Pada 18 Ogos 2021 di lokasi sama tertuduh turut didakwa melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta sebanyak RM120,000.

Bagi semua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Sesyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam S Prekash.

Afiqah Izzati menawarkan wang jaminan sebanyak RM100,000 bagaimanapun peguam Prekash memohon wang ikat jamin dikurangkan kepada RM20,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes, lapor BH Online.

Tags: , ,