Kuala Lumpur Post

Nation

Ahli perniagaan saman Tun M, kerajaan isu saham Renong

KUALA LUMPUR — Seorang ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua pihak lain, bagi menuntut pampasan berhubung kerugian dialaminya selepas pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan, hampir 23 tahun lepas.

Saman itu difailkan Halim selaku plaintif menerusi Tetuan Malik Imtiaz Sarwar di Mahkamah Tinggi di sini pada 2 Ogos lepas, dengan menamakan Dr Mahathir, bekas Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Halim yang merupakan bekas pengerusi eksekutif dan pengarah Renong mendakwa, beliau berniat untuk membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong, dengan pelaksanaan itu membolehkan plaintif memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.

“Namun, saya diarahkan oleh Dr Mahathir dan Tan Sri Nor Mohamed, supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan, iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.

“Saya juga diarahkan agar keluar daripada UEM dan Renong sebagai pemegang saham, dan juga pengarah termasuk anak-anak syarikat dua syarikat itu. Ini mewajibkan saya untuk menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan, dan selanjutnya melupuskan saham Renong milik saya dengan kerugian,” dakwanya dalam pernyataan tuntutan itu.

Halim mendakwa Khazanah telah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd sekali gus memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.

“Dengan cara ini, kerajaan mengambil alih UEM dan secara tidak langsung memperoleh kawalan dan hak milik tidak langsung ke atas kumpulan Renong,” katanya.

Plaintif turut mendakwa perancangan kerajaan untuk mengambil alih UEM dan akhirnya diswastakan tidak akan dapat dicapai tanpa sokongannya.

“Tindakan kolektif dan bersepadu kesemua defendan, menyebabkan saya kehilangan kawalan ke atas Renong dan kawalan secara tidak langsung ke atas UEM, dan asetnya yang sangat bernilai termasuk Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Elite Expressway dan Laluan Kedua Malaysia (LINKEDUA),” dakwanya dan menambah beliau mengalami kerugian kewangan akibat daripada tindakan kesemua defendan.

Oleh itu, Halim antaranya memohon deklarasi dan pampasan berhubung pengambilan saham secara paksa oleh kerajaan bagi tempoh antara Julai dan Oktober 2001.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa beliau pemegang saham Renong dan mendakwa kerajaan telah melanggar Perkara 8(1) atau Perkara 13(2) Perlembagaan Persekutuan, kerana gagal memberikan pampasan memadai kepadanya.

Beliau turut memohon perintah supaya kerajaan membayar pampasan kepadanya, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan atau teruk, faedah, kos atau relif yang sesuai oleh mahkamah, lapor Bernama.

Pada 2013, Halim memfailkan tuntutan saman RM1.8 bilion terhadap kerajaan, Khazanah dan Nor Mohamed selepas mendakwa beliau ditipu, bagaimanapun saman itu ditolak Mahkamah Tinggi di sini dan beliau juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Tags: ,