Social
451
0

Ahli politik dan isteri didakwa edar, tanam ganja

Kuala Lumpur – Seorang ahli politik dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam ganja di rumah mereka, pada bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Adam Asmuni, 35, dan Lyiana Roslee, 34, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim, kerana kes itu membabitkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 1.58 kilogram serta cecair jenis dadah sama berisi padu 7.87 liter di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang, di sini pada jam 7.30 malam, 20 Januari lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, ahli perniagaan dan suri rumah terbabit didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati, perlu disebat tidak kurang 15 sebatan.

Pasangan suami isteri itu juga didakwa menanam sembilan pokok disyaki ganja di tempat, tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, iaitu dipenjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad dan Lyiana diwakili peguam Nur Mustanir Md Nor, manakala Adam tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mac depan bagi tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.

Terdahulu, di mahkamah berasingan, Majistret Farah Nasihah Anuar melepas tanpa membebaskan Lyiana, yang didakwa atas pertuduhan sama pada 1 Februari lalu sebelum mendakwanya semula hari ini bersama-sama suaminya di hadapan Normaizan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang ahli politik yang juga ahli perniagaan ditahan kerana disyaki memproses dan mengedar dadah di Pudu, selain menyerbu rumah suspek di Ampang.

Turut ditahan dalam serbuan itu, isteri dan pembantu rumah suspek. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu