Social
78

Ahli sekutu Jho Low diperintah bayar cukai pendapatan RM6.8 juta

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Casey Tang Keng Chee yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, membayar cukai pendapatan RM6,779,852.36 kepada Kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat pada 21 April lepas, selepas penghakiman ingkar kehadiran difailkan oleh LHDN bagi pihak kerajaan selaku plaintif.

Berdasarkan semakan dalam sistem mahkamah (e-filing), Tang, 56, yang merupakan bekas pengarah eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga diperintah membayar faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi dan kos sebanyak RM2,000 kepada kerajaan.

Menurut perakuan ketidakhadiran difailkan LHDN, suatu afidavit penyampaian writ saman dan penyataan tuntutan bertarikh 4 Dis tahun lepas kepada Tang telah diserahkan secara penyampaian ganti melalui pengiklanan di akhbar Berita Harian pada 16 Mac 2021 dan penampalan di premis beralamat di Taman Sri Endah di sini, pada 30 Mac 2021.

“Maka dengan ini diperakui bahawa tiada kehadiran telah dimasukkan untuk Tang,” menurut perakuan kehadiran itu.

Kerajaan Malaysia memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN terhadap Tang selaku defendan pada 4 Dis 2020.

Menerusi pernyataan tuntutan itu, Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-Tahun Taksiran 2009 sehingga 2017, defendan telah ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM260,560.26, RM473,004.48, RM1,600,810.12, RM257,694.20, RM1,074,455.28, RM1,428,296.28, RM701,285.00, RM310,502.16 dan RM57,866.40 melalui Notis-notis Taksiran (Tambahan) masing-masing bertarikh 30 Sept 2020.

Plaintif mendakwa Notis-notis Taksiran (Tambahan) itu telah dihantar secara Akaun Terima Berdaftar (A.R) kepada defendan pada 6 Okt 2020 ke alamat terakhirnya di Taman Sri Endah, di sini yang diketahui oleh plaintif pada masa itu, dan notis berkenaan telah diterima dan ditandatangani melalui pengembalian semula kad kuning A.R.

Menurut plaintif, seterusnya lebihan kredit RM972.00 telah digunakan dan ditolak sebagai sebahagian bayaran cukai pendapatan bagi Tahun Taksiran 2009 (Tambahan) itu, meninggalkan baki yang masih terhutang dan perlu dibayar sebanyak RM259,588.26 bagi tahun taksiran berkenaan.

Plaintif mendakwa, oleh kerana defendan gagal membayar jumlah cukai pendapatan bagi Tahun-Tahun Taksiran 2009 sehingga 2017 dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian Notis-notis Taksiran (Tambahan) seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan kenaikan cukai sebanyak 10 peratus, defendan perlu membayar kesemuanya berjumlah RM6,779,852.36, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang lagi sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong membayar cukai pendapatan RM67,996,891.87 kepada Kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan kerajaan melalui LHDN.

Pada 18 Feb lepas, seorang lagi sekutu Jho Low iaitu bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan turut diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM2,496,133.05 selepas kerajaan memperoleh penghakiman ingkar terhadap wanita itu. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu