Nation
173
0

Ahli virologi Malaysia anggotai Suruhanjaya Lancet siasat asal-usul COVID-19

Kuala Lumpur – Selepas hampir setahun lebih kes pertama COVID-19 dilaporkan di China, dunia masih bingung dengan asal-usul virus berbahaya itu.

Meskipun sudah terdapat kira-kira 56 juta kes dengan 1.3 juta kematian akibat virus itu di seluruh dunia, saintis masih belum berjaya merungkai misteri bagaimana COVID-19 boleh menjadi begitu tidak terkawal.

Persoalan ini – dan banyak lagi sebenarnya – akan menjadi fokus pasukan petugas antarabangsa pimpinan Dr Peter Daszak, ahli ekologi penyakit yang telah menghabiskan masa bertahun-tahun mengkaji jangkitan koronavirus di China dan Asia Tenggara.

“Kami berhasrat untuk melakukan penyelidikan menyeluruh dan terperinci berkaitan asal-usul serta penularan awal SARS-CoV-2 (COVID-19),” kata Dr Daszak, Presiden EcoHealth Alliance, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memfokus kepada perlindungan kesihatan manusia, alam sekitar dan haiwan di peringkat global.

Pasukan petugas 12 anggota itu juga adalah sebahagian daripada Suruhanjaya COVID-19 Lancet. Lancet adalah antara jurnal perubatan am mingguan tertua di dunia.

Anggota pasukan petugas terdiri daripada pelbagai kumpulan disiplin saintifik dan latar belakang dengan kepakaran dalam penyelidikan penularan, virologi, makmal biokeselamatan dan ekologi penyakit.

Antaranya ialah ahli virologi terkenal Malaysia iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit – peneraju dalam jangkitan virus bangkit yang juga individu penting dalam penemuan virus Nipah.

“Sudah tiba masanya untuk membentuk suruhanjaya itu kerana kita kini memiliki data dan bahan yang lebih komprehensif.

“Ini membolehkan suruhanjaya menyediakan penilaian yang canggih dan menawarkan penyelesaian serta syor yang praktikal kepada kerajaan, masyarakat sivil dan institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai respons kepada pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut disoal tempoh yang akan diambil oleh pasukan petugas itu dalam mencari jawapan yang dinanti-nantikan oleh dunia.

“Pasukan petugas ini telah diberikan tempoh 12 bulan untuk melakukan kajian saintifik secara objektif dan terperinci terhadap semua maklumat yang ada mengenai asal-usul, kawalan awal dan penyelesaian One Health untuk ancaman masa depan pandemik tersebut,” kata Lam, yang juga perunding penyelidik di Universiti Malaya dan Felow Kanan Akademi Sains Malaysia.

One Health adalah satu pendekatan bagi merancang dan melaksanakan program, dasar, perundangan dan penyelidikan yang menyaksikan pelbagai sektor berkomunikasi dan bekerjasama untuk mencapai hasil kesihatan awam yang lebih baik.

Dalam penyelidikannya, pasukan petugas itu akan mewujudkan semula garis masa penularan COVID-19 dari tarikh akhir penularan SARS pada 2003 sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa pada 30 Jan 2020.

Mereka juga akan menganalisis bukti yang ada bagi setiap hipotesis yang dikemukakan mengenai asal-usul COVID-19 dan membandingkan penularan awal serta kawalan dengan penularan sebelumnya.

Ini bagi membolehkan mereka mengenal pasti strategi yang mungkin boleh membantu mencegah penularan pandemik itu pada masa akan datang, menurut pasukan petugas tersebut dalam satu kenyataan.

Dr Jeffrey D. Sachs dari Universiti Columbia, yang mempengerusikan Suruhanjaya COVID-19 Lancet, berkata terdapat minat yang mendalam dalam usaha memahami bagaimana COVID-19 bangkit dan menular.

“Jika kita boleh memahami sebab pandemik ini bermula, kita boleh membantu mencegah pandemik berikutnya,” kata beliau. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu