Nation
634
0

Ahmad Faizal letak jawatan selepas MB baharu dipilih

Ipoh – Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan meletak jawatan selepas Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memperkenankan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mempunyai mandat dan majoriti untuk menjadi Menteri Besar yang baharu.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang berkata beliau perlu memastikan operasi kerajaan diteruskan dengan melaksanakan tugas sementara sebelum mengambil tindakan yang sepatutnya iaitu meletak jawatan dan akan memaklumkan mengenai peletakan jawatan itu.

“Berilah saya selesaikan tanggungjawab kepada rakyat kerana aktiviti operasi kerajaan negeri mesti diteruskan, jadi saya nasihatkan pembangkang, awak sudah dapat apa awak nak, tidak perlulah sampai tahap untuk menghentikan pentadbiran kerajaan.

“Hari ini masih ada beberapa kawasan di Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang mana kerajaan mesti ada tanggungjawab untuk menyelesaikannya dan perlu ada kepala untuk membantu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan replika cek sebanyak RM100,000 masing-masing kepada sembilan wakil Sekolah Persendirian Cina (SUWA) di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir, ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A. Sivasubramaniam namun kedua-dua mereka enggan memberikan sebarang kenyataan.

Ahmad Faizal berkata tugas-tugas barisan exco kerajaan negeri juga masih berjalan seperti biasa setakat ini sehingga Menteri Besar Perak yang baharu diberikan mandat.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata Bersatu Perak menegaskan segala keputusan akan dibuat secara konsensus bagi memastikan kepentingan setiap parti politik dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terjamin.

Beliau yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata pembentukan kerajaan baharu dalam gabungan itu perlu mengutamakan kestabilan walaupun terpaksa mengorbankan kehendak dan keperluan parti masing-masing.

“Setiap parti mempunyai pelbagai kehendak dan keperluan. Bagi kehendak parti Bersatu sebagai contohnya, kami hendakkan seberapa banyak jawatan untuk ahli kami, begitu juga untuk parti PAS dan juga UMNO.

“Tapi apakah ia satu keperluan yang mendesak sehingga kita menggadaikan apa jua prinsip permuafakatan yang telah pun kita bina melalui PN. Jadi, tepuk dada tanya selera,” katanya.

Semalam, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Usul itu dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) atas alasan untuk membuktikan Ahmad Faizal mempunyai sokongan padu daripada semua 59 ADUN sebagai seorang Menteri Besar.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3), PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu