Nation
278

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah

Kuala Lumpur – Pendakwaan kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akalbudi, hari ini meminda satu pertuduhan dalam kes pengubahan wang haram dengan menambah nilai dan jumlah cek.

“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya. Terima kasih… saya mengaku tidak bersalah,” kata Ahmad Zahid.

Beliau membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pindaan kes pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah sebelum perbicaraan kesnya bermula.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong memohon kepada mahkamah untuk meminda nilai serta jumlah cek pada pertuduhan ke-27 dan hakim mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan kepada Ahmad Zahid, 68.

Pindaan itu dengan membuang jumlah “RM6,885,300.20” serta “30 keping cek dan diganti kepada “RM7,511,250.20” dan “35 keping cek”.

Mengikut pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram, dengan mengarahkan Omar Ali Abdullah, mengubah wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek yang kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co. untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Ahli Parlimen Bagan Datuk didakwa melakukan perbuatan itu di Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Jalan Bukit Bintang, dekat sini pada 29 Mac 2016 dan 15 Julai 2016.

Ahmad Zahid, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Semua pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu