Nation
121

Ahmad Zahid tak dapat faedah daripada pinjaman RM250,000 diambil adik : Peguam

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mendapat faedah daripada pinjaman RM250,000 yang diambil adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi daripada pemborong tekstil.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid berkata ini kerana Mohamad Nasaee telah mengemukakan pembayaran itu kepada firma guaman Tetuan Lewis & Co.

Peguam itu berkata pemborong tekstil Junaith Asharab, yang merupakan saksi pendakwaan ke-36 telah memberi keterangan bahawa Mohamad Nasaee secara peribadi menulis nama firma guaman Tetuan Lewis & Co sebagai penerima pembayaran.

“Menurut Junaith, cek berkenaan kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun pelanggan Lewis & Co pada 15 Julai, 2016,” katanya dan menambah bahawa Mohamad Nasaee tidak pernah dipanggil oleh pendakwaan untuk menjelaskan mengenai isu tersebut (mengapa jumlah perlu dibayar kepada firma itu).

“Tidak ada bukti yang menunjukkan bahwa tertuduh mengetahui hal ini dan pihak yang melakukan transaksi pinjaman. Tertuduh tidak menerima faedah yang dikatakan itu dan tiada alasan langsung untuk mengatakan itu adalah satu dorongan,” katanya dalam penghujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Malah, menurut Hisyam, semasa pemeriksaan balas, Junaith menegaskan bahawa pinjaman itu tidak ada kaitan dengan tertuduh.

Oleh itu, beliau berhujah bahawa tuduhan rasuah terhadap anak guamnnya tidak berasas sama sekali.

Terdahulu, hakim membenarkan permohonan Ahmad Zahid supaya prosiding hari ini berlangsung setakat 11 ​​pagi kerana beliau perlu menghadiri persidangan Parlimen pada 12 tengah hari.

Peguam yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Hamidi Mohd Nor memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menerima surat daripada Setiausaha Dewan Rakyat petang semalam, oleh itu, beliau memohon prosiding hari ini ditangguhkan pada 11 ​​pagi.

Hakim kemudian membenarkan permohonan Ahmad Zahid itu setelah tiada bantahah pihak pendakwaan.

Ahmad Zahid, 68, menghadapi 47 tuduhan – 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram – melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pembelaan akan menyambung penghujahan esok, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu