Nation
164

Ahmad Zahid tidak lakukan pecah amanah : Pembelaan

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi diberitahu satu daripada pertuduhan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi (YAB) tidak menyatakan perjanjian jual beli sebuah hotel di Bali, Indonesia.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berkata perkara itu sama sekali tidak relevan dengan pertuduhan tersebut, apabila pihak pendakwaan mendakwa sebahagian daripada dana RM17.9 juta itu disalahgunakan untuk urusan pembelian saham.

“Setakat pertuduhan berkenaan, tidak dinyatakan mengenai penjualan saham daripada Tan Sri Abdul Rashid Manaf (saksi pendakwaan ke-83), tidak disebut mengenai Ri-Yaz Assets (Ri-Yaz Assets Sdn Bhd), tidak dinyatakan mengenai Datuk Mohammad Shaheen Shah Mohd Sidek (saksi pendakwaan ke-84), tidak disebut mengenai pembelian hotel di Bali dan tidak disebutkan perjanjian jualan (saham).

“Yang Arif, semua keterangan yang dikemukakan oleh Tan Sri Rashid, Datuk Mohammad Shaheen Shah adalah tidak relevan dengan pertuduhan itu.”

Hisyam berkata demikian dalam hujahan balasnya di akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid, yang menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

“Naratif yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, bukti (yang dikemukakan pihak pendakwaan) adalah tidak relevan,” katanya.

Minggu lalu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pengeluaran RM17.9 juta daripada dana YAB antara lain adalah untuk memudahkan anak perempuannya membeli sebuah hotel butik di Bali.

Anak sulung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah berminat untuk mengambil alih saham Ri-Yaz Asset Sdn Bhd dan mengusahakan hotel itu.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Bagi 12 tuduhan CBT, Ahmad Zahid didakwa telah menggunakan dana tersebut untuk membuat pembayaran bil kad kredit peribadi, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, selain kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan Affin Bank Jalan Bunus off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua hingga 20 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 22 Nov selepas Ahmad Zahid kembali dari Munich, Jerman untuk rawatan perubatannya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu