Nation
424

Air pasang besar: 3 negeri dilanda banjir

Kuala Lumpur – Fenomena air pasang besar yang berlaku menyebabkan beberapa kawasan di Kedah, Perak dan Johor dinaiki air, sekali gus menyebabkan jumlah mangsa banjir di tiga negeri berkenaan terus meningkat.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir menunjukkan peningkatan pagi ini apabila bertambah kepada 885 orang daripada 240 keluarga, berbanding 853 mangsa daripada 234 keluarga, petang semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata daerah Kota Setar menunjukkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 584 mangsa daripada 163 keluarga, di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi setakat 8 pagi ini.

“Tujuh PPS ini adalah SK (Sekolah Kebangsaan) Langgar, SK Suka Menanti, SK Darul Hikmah, SK Convent, SK Titi Gajah, SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) SMK Convent dan SMK Simpang Kuala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata untuk daerah Pendang pula, seramai 287 mangsa daripada 75 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dan Dewan Cenderawasih, Baling (10 mangsa daripada satu keluarga) di SK Tembak A, manakala seramai empat mangsa daripada satu keluarga di PPS SK Tualang bagi daerah Pokok Sena.

Di IPOH, seramai 70 penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS di SK Panchor, Beruas di daerah Manjung selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.2 meter, akibat fenomena air pasang besar malam tadi.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung berkata semua penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Panchor, melibatkan 21 keluarga dipindahkan secara berperingkat mulai pukul 8 malam.

Beliau berkata pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat, sedang melakukan pemantauan di lokasi kejadian dan PPS berkenaan.

Di daerah Hilir Perak, fenomena air pasang besar berlaku setinggi lebih semeter pada kira-kira pukul 4.30 pagi tadi, menyebabkan air melimpah ke dalam kawasan kediaman penduduk yang rendah di beberapa kawasan di pesisir Sungai Perak di Teluk Intan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata keadaan sama berulang seperti semalam, apabila 12 kawasan di sekitar daerah itu terjejas akibat fenomena berkenaan namun tiada mangsa yang dipindahkan setakat ini, manakala air mula surut selepas pukul 7 pagi.

Katanya lokasi yang terjejas ialah Kampung Sungai Kerawai; Kampung Terengganu; Pekan Teluk Intan; Kampung Esso; Kampung Pisang, Batak Rabik; Ban Taman Maharani; Lorong Kalat Batak Rabit; Batu 6 Jalan Maharajalela; Taman Muhibbah Batu 6; Taman Desa Aman; Kampung Batak Rabik dan Lorong Masjid Kampung Bahagia.

Beliau berkata APM sentiasa membuat pemantauan di kawasan-kawasan terlibat, namun keadaan dikhuatiri menjadi buruk sekiranya berlaku hujan lebat dan ban pecah.

Di JOHOR, hujan lebat selama lebih dua jam dan pertembungan air pasang di daerah Kota Tinggi petang semalam, menyebabkan banjir kilat di Kampung Baru Sungai Mas dan Kampung Muhibbah sekali gus menjejaskan 48 mangsa daripada sembilan keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor R.Vidyananthan berkata seramai 43 orang dari lapan buah keluarga di Kampung Baru Sungai Mas ditempatkan di PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas, yang dibuka bermula pukul 8 malam tadi.

“Lima orang daripada sebuah keluarga pula ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Muhibbah pada pukul 10 malam,” katanya menambah bagaimanapun paras air di kedua-dua buah kampung berkenaan dilihat telah surut sepenuhnya pagi ini, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu