Nation
136
0

Air Selangor peruntuk RM293 juta turunkan kadar air tidak berhasil

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memperuntukkan RM293 juta tahun ini berbanding RM255 juta pada 2020 untuk mencapai penurunan kadar air tidak berhasil (NRW) pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM170 juta telah diperuntukkan untuk Program Penggantian Paip Lama yang kritikal, manakala RM16 juta untuk penukaran meter lama dan rosak.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata Air Selangor berjaya menurunkan purata NRW kepada 28.6 peratus tahun lepas berbanding 29.7 peratus pada 2019.

Pencapaian ini melebihi sasaran pada kadar 29.2 peratus yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meskipun berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, seiring dengan penurunan kadar NRW yang baik sejak 2019, Air Selangor bertekad untuk terus mengurangkan kadar NRW kepada tahap 25 peratus pada 2025 dan seterusnya kepada tahap 15 peratus menjelang 2049.

Pada 2020, Suhaimi berkata Air Selangor telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kadar NRW.

Ia termasuklah pelaksanaan pasukan Pakar Kebocoran, Program Pengesanan Kebocoran Secara Aktif, Program Pembentukan Zon Pemeteran Daerah dan Program Penggantian Paip Lama. ― Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu