Social
105

Akauntan rugi RM104,000 ditipu menang wang, kad kredit

Seremban – Seorang akauntan yang terperdaya dengan hantaran mesej dari seorang individu menerusi akaun Facebooknya yang mendakwa dia memenangi sejumlah wang daripada sebuah platform beli-belah dalam talian semalam, mendapati dua kad kreditnya telah digunakan dalam pembelian barangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata wanita berusia 39 tahun itu menerima mesej menerusi akaun Facebook menggunakan nama “Irene Wee” yang memaklumkan mangsa telah memenangi wang daripada sebuah syarikat platform beli-belah dalam talian itu kira-kira 2 petang

Katanya, suspek kemudian memberi nombor telefonnya iaitu 019-9109136 kepada mangsa memaklumkan bahawa wanita itu telah memenangi wang sebanyak RM3,573 (1,150 SGD).

“Suspek turut meminta nombor kad kredit mangsa dan butiran kad bagi urusan penerimaan wang tersebut dan mangsa telah memberi nombor dan butiran kad kredit miliknya.

“Mangsa diarahkan untuk menghantar mesej OTP kepada suspek. Kemudian mangsa mendapati ada transaksi sebanyak RM70,000 melalui salah satu kad kredit miliknya bagi urusan pembelian di platform beli-belah dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, suspek telah melakukan beberapa transaksi pembelian di platform beli-belah dalam talian itu menggunakan satu kad kredit milik mangsa sehingga mencapai RM70,000 dan RM34,000 menerusi satu lagi kad kredit.

Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila dia gagal menghubungi suspek kira-kira pukul 10.36 pagi tadi, dan susulan itu mangsa terus menghubungi pihak bank sebelum membuat laporan di Balai Polis Rahang, katanya.

Aibee berkata pihak bank memaklumkan kesemua transaksi tersebut masih ‘terapung’ dan tidak dapat mengeluarkan penyata bagi transaksi tersebut.

“Kesemua transaksi tersebut bagi urusan platform beli-belah dalam talian dan jumlah kerugian sebenar tidak dapat dipastikan kerana kesemua transaksi masih ‘terapung’.Terdapat transaksi yang tidak berjaya kerana melebihi had transaksi harian mangsa,” katanya.

Aibee berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu selain meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan atau mesej yang mencurigakan.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu