Kuala Lumpur Post

Social

Akauntan rugi RM1.34 juta ditipu skim pelaburan saham

JOHOR BAHRU — Seorang akauntan hanya sempat merasa pulangan RM2,000 daripada pelaburan saham disertai, namun terpaksa menanggung kerugian RM1.34 juta.

Semuanya selepas dia melabur dalam skim pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, mangsa berusia 42 tahun membuat laporan semalam, mendakwa ditipu selepas menyertai pelaburan itu menerusi aplikasi Fidelity Max.

Katanya, mangsa mula-mula melihat iklan mempromosi pelaburan itu di media sosial pada Oktober 2023 dan berhubung dengan individu menerusi WhatsApp yang memberikan penerangan lanjut mengenai pelaburan.

“Suspek menerangkan mengenai pelaburan dalam bentuk pembelian saham syarikat dalam dan luar negara, dengan keuntungan berlipat kali ganda.

“Mangsa juga dijanjikan akan mendapat keuntungan yang lebih tinggi sekiranya membuat pelaburan berjumlah tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kumar berkata, mangsa kemudian mendaftar dalam aplikasi Fidelity Max untuk turut membolehkan dia memantau akaunnya, serta telah membuat bayaran ke beberapa akuan bank antara Oktober 2023 hingga Januari lalu, dengan keseluruhan nilai berjumlah RM1.34 juta.

“Mangsa memaklumkan semakan pada aplikasi tersebut menunjukkan keuntungan dalam pelaburannya dan mahu mengeluarkan wang terbabit.

“Namun dia hanya dibayar RM2,000 sahaja, manakala bakinya tidak boleh dikeluarkan atas pelbagai alasan, termasuk dikehendaki membuat sejumlah bayaran tertentu.

“Mangsa percaya dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.