Nation
190

Aktiviti permainan video cetus kluster baharu di Sabah

Kota Kinabalu – Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal ketika aktiviti permainan video dalam kalangan belia menjadi punca tercetusnya Kluster Lumadan di Beaufort yang mencatat 46 kes positif COVID-19 sehingga semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kes indeks merupakan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dikesan positif di Beaufort pada 29 Jun selepas bergejala demam dan batuk sejak 24 Jun.

“Kluster ini melibatkan penularan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan sekerja dari pelbagai lokaliti di sekitar Mukim Lumadan (Beaufort).

“Sebanyak 110 ujian saringan telah dilakukan dengan 46 kes postif dikesan dalam kluster ini,” menurutnya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Satu lagi kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Istimewa Dua di Sandakan yang melibatkan 27 kes positif hasil saringan ke atas 261 individu di kawasan itu.

“Kluster ini melibatkan jangkitan dalam komuniti di lokaliti Kampung Istimewa di Sandakan membabitkan kes indeks seorang lelaki berusia 48 tahun dikesan positif pada 25 Jun di Sandakan, kampung yang sama pernah merekodkan kluster pada 14 Nov lepas,” katanya.

Beliau berkata Sabah hari ini merekodkan 279 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 71,468 manakala 203 pesakit pulih menjadikan jumlah yang sembuh ialah 68,739 orang.

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu