Kuala Lumpur Post

Nation

Aliran trafik lebuh raya keluar Lembah Klang sesak

KUALA LUMPUR — Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menghala keluar dari Lembah Klang, dilaporkan sesak pada petang ini.

Ia susulan peningkatan warga kota pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri, sekali gus memanfaatkan tawaran tol percuma di semua lebuh raya yang dijadualkan berakhir pada jam 11.59 malam ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik ke utara sesak di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dari Bukit Lanjan ke Rawang, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang ke Bukit Beruntung, Bukit Tagar ke Lembah Beringin, Tapah ke Gopeng, dan Terowong Menora ke Kuala Kangsar.

“Empat lorong Smart Lane telah diaktifkan bagi laluan ke utara membabitkan Kawasan R&R Rawang ke Sungai Buaya, Slim River ke Sungkai, Gua Tempurung ke Gopeng, dan Bukit Tambun ke Juru. Laluan berkenaan diaktifkan hingga jam 7 malam ini,” katanya kepada Bernama.

Bagi laluan ke selatan pula, katanya, kesesakan dilaporkan berlaku di Nilai ke Bandar Ainsdale, Port Dickson Selatan ke Pedas Linggi, dan Kulai ke Sedenak.

“Lorong Smart Lane juga telah diaktifkan, antaranya Nilai ke Kawasan R&R Seremban, Ayer Keroh ke Hentian Sebelah Bemban, dan Kulai ke Senai,” katanya.

Bagi laluan ke Pantai Timur, beliau berkata, trafik terkawal dan kesesakan hanya berlaku selepas Plaza Tol Gombak hingga ke Terowong Genting Sempah.

“Trafik sesak sepanjang 13 kilometer berikutan hujan, selain peningkatan kenderaan dan laluan mendaki di lokasi,” katanya.