Kuala Lumpur Post

Social

Aliran trafik mula perlahan di beberapa lebuh raya utama

KUALA LUMPUR — Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menghala Pantai Timur dan utara, dilaporkan mula perlahan setakat 9 pagi ini.

Ia susulan ramai perantau mula bergerak untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Gombak menghala Genting Sempah mula sesak dari Gombak menuju Genting Sempah, membabitkan jarak sejauh 17 kilometer dari Tol Gombak.

“Aliran trafik ke arah Utara dari Slim River ke Sungkai dan dari Terowong Menora ke RnR Sungai Perak juga dilihat mula perlahan,” katanya.

Aliran trafik turut dilapor perlahan di arah Utara dari Bidor menuju Tapah.

Sementara itu, kemalangan yang dilaporkan berlaku di KM314.7 arah Utara dari Tapah ke Gopeng pada jam 7.43 pagi, telah diselesaikan dan kenderaan mula bergerak dengan lancar.

Beberapa laluan Smartlane juga diaktifkan pagi ini, antaranya di KM4.5 hingga KM1.9 arah Selatan dari Setia Tropika ke Pasir Gudang dan juga di KM27.0 hingga KM19.0 arah Selatan dari Kulai ke Senai.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1-800-88-0000 dan laman Twitter www.twitter.com/plustrafikatau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.