Nation
339

Anak Najib terima notis kebankrapan dari LHDN

Kuala Lumpur – Selain Datuk Seri Najib Tun Razak, anak lelakinya Datuk Mohd Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal melunaskan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi Julai tahun lepas.

Peguam Wee Yeong Kang,yang mewakili Mohd Nazifuddin ketika dihubungi pemberita, berkata notis berkenaan telah diserahkan kepada anak guamnya pada 30 April lepas dan pihaknya telah memfailkan afidavit untuk membantah notis kebankrapan itu pada 6 Mei lalu.

“Mohd Nazifuddin juga akan memfailkan satu lagi permohonan untuk mengetepikan notis itu dan bagi menangguhkan prosiding kebangkrapan sebelum 9 Jun ini. Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 21 Jun,” katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif, hari ini.

Prosiding itu turut disertai Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus dan Peguam Hasil Athari Faris Ammerry Hussein bagi pihak LHDN.

Mengikut dokumen yang difailkan di mahkamah, kerajaan melalui LHDN memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Feb lepas terhadap Mohd Nazifuddin, 38, selaku penghutang, hari yang sama notis kebankrapan difailkan terhadap bapanya.

Berdasarkan notis berkenaan, Mohd Nazifuddin perlu membayar RM37.6 juta dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 6 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 iaitu RM1.1 juta serta kos RM10,000 dan setakat 4 Feb 2021 jumlah itu menjadi RM38,758,370.93.

Najib, bekas perdana menteri, pula perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Feb 2021 jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 6 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mohd Nazifuddin perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM37.6 juta, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Mohd Nazifuddin telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 9 Ogos ini untuk mendengar rayuannya.

Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar hutang itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun beliau memfailkan rayuan.

Oleh itu, LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap Mohd Nazifuddin kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu