Nation
161

Anak Orang Asli cemerlang walaupun positif Covid-19 sebelum SPM

Ipoh – Meskipun disahkan positif COVID-19 dua minggu sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia tidak melemahkan semangat seorang pelajar Orang Asli untuk mendudukinya.

Alieya Ashikin Haszrul Zainal, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tapah, tetap tekun mengulang kaji pelajaran walaupun ditempatkan di pusat kuarantin dan terasing daripada keluarga demi mengelakkan risiko penularan.

“Saya akui memang kekurangan masa untuk mengulang kaji pelajaran kerana perlu belajar di pusat kuarantin dan sedikit risau jika tidak mampu menjawab soalan peperiksaan namun saya tetap berusaha serta tidak berputus asa,” katanya yang memperoleh 4A apabila keputusan peperiksaan itu diumumkan hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata beliau merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti di Institut Pendidikan Guru demi mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang guru.

Nur Iman Hamzah pula tidak menyangka akan dinobat sebagai pelajar terbaik SMK Seri Ampang di sini selepas meraih keputusan cemerlang 9A walaupun berdepan cabaran musim persekolahan yang tidak menentu.

“Sebelum ini, saya hampir berputus asa apabila musim persekolahan yang tidak menentu menyebabkan fokus pelajaran terganggu malah selalu gagal dalam subjek Matematik. Jadi bila sekolah ditutup, tidak boleh berjumpa dengan guru untuk bertanyakan apa yang kurang difahami,” kata pelajar aliran Teknikal itu.

Cheang Wen Jing dari SMK Padang Besar Utara di Kangar, Perlis yang memperoleh keputusan 7A mengakui pernah berasa agak tertekan dengan cabaran mengharungi pembelajaran ketika pandemik COVID-19.

“Pandemik COVID-19 memberi satu pukulan besar buat keluarga saya. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan kali pertama dilaksanakan tahun lepas, saya agak tertekan melihat bapa tidak boleh keluar bekerja, dia hanya tukang kayu dan membuat kerja mengubah suai rumah, tiada panggilan bermakna tiada pendapatan untuk dia.

“Saya pula sebagai anak sulung daripada empat beradik mestilah mahu membantu tetapi keluarga mahu saya fokus pada pelajaran. Jadi kami berjimat cermat berbelanja menggunakan duit simpanan bapa memandangkan ibu tidak bekerja,” katanya.

Wen Jing berkata beliau tidak akan lupa jasa dan pengorbanan bapanya, Cheang Thoong Poh, 59, yang sanggup bersusah-payah menyediakan keperluan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) seperti capaian Internet menerusi telefon pintar.

Berkongsi cabaran ketika mengharungi pembelajaran SPM 2020 dengan norma baharu, remaja yang bercita-cita menjadi seorang akauntan itu berkata keluarganya tidak mampu menyediakan komputer riba atau membeli bahan rujukan kerana faktor kewangan.

Pelajar aliran perdana SMK Syed Sirajuddin di Kangar, Muhammad Hamiril Shahidan pula bersyukur lulus semua mata pelajaran dalam keputusan SPM yang diterimanya hari ini walaupun tidak dapat belajar dengan sempurna akibat COVID-19.

“Cabaran yang saya hadapi ialah apabila terpaksa kerap meminta wang daripada ibu untuk menambah nilai kad prabayar telefon bagi mendapatkan capaian Internet.

“Bapa hanya bekerja menjaja ikan di pasar manakala ibu pula suri rumah, hendak minta pasang Wifi agak mahal, bimbang ibu dan bapa tak mampu,” katanya. — Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu