Nation
2K

Anak perempuan imigran Malaysia mati ditembak

Georgia – Seorang anak perempuan kepada imigran Malaysia, Carmen Cai Yi Lee, ditembak dan terbunuh di sebuah bandar kecil di pinggir kota raya Atlanta, negeri Georgia, Amerika Syarikat, seminggu sebelum menyambut  hari jadinya, lapor portal berita mothership semalam.

Carmen, 25, ditembak semasa memandu pulang daripada menghadiri parti barbeku rakannya.

Menurut polis Doraville, seorang anggotanya menemui kereta Carmen di tepi jalan sekitar pukul 9.30 malam pada 29 Mei lalu. Apabila anggota polis memeriksa kenderaannya, merek menemui Carmen dalam keadaan tidak sedarkan diri di kerusi pemandu.

Anggota-anggota polis kemudian mula memberikan bantuan kecemasan dan dalam proses tersebut,  mereka mendapati Carmen mengalami luka akibat terkena tembakan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut  akhbar tempatan, The Atlanta Journal- Constitution  (AJC), terdapat sekurang-kurangnya 30  kejadian tembakan pada tahun ini  di jalan-jalan di Atlanta dan daerah sekitarnya.

Seramai 10  orang termasuk Carmen meninggal dunia selepas ditembak ketika memandu kereta.

AJC melaporkan bahawa pasukan penyiasat berkata, banyak kes tersebut berpunca daripada kemarahan ketika di jalan raya, manakala majoriti kes tembakan jalanan itu masih tidak dapat diselesaikan.

Polis merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat kes tersebut supaya tampil membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, teman lelaki Carmen memberitahu bahawa mangsa takut mendengar berita mengenai jenayah dan keganasan senjata di kota raya Atlanta dan mula membawa penyembur lada.

Saluran berita Atlanta,CBS46melaporkan bahawa polis memberitahu keluarga Carmen bahawa kematian mangsa  adalah kerana dia berada di lokasi  salah dan pada masa yang salah.

Ibu bapa Carmen berhijrah dari Malaysia ke Amerika Syarikat sebelum dia dilahirkan, kata teman lelakinya kepada AJC.

Mangsa ialah anak sulung dalam tiga adik-beradik. Dia cuba menjadi teladan kepada adik-adiknya dan juga membantu ibu bapa mereka.

“Dia sentiasa membantu orang  lain. Saya terpaksa memberitahu dia supaya berhenti dan menjaga diri sendiri dahulu,” kata lelaki itu. —Agensi

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu