Social
116

Anggota APM maut dilanggar, diseret 50 meter

Kuala Lumpur – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) maut selepas dilanggar dari arah belakang sebelum diseret sejauh 50 meter oleh sebuah kereta jenis Proton Wira dalam kejadian di Kilometer 36 Jalan Klang – Banting – Port Dickson, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Nor Hezlina Nazrib, 19, kemudiannya turut dilanggar dua buah kereta selepas memasuki arah bertentangan dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR dalam perjalanan ke Morib dari Banting di sini.

Katanya, mangsa kemudiannya telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta Proton Wira dipandu lelaki juga berusia 19 tahun sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Proton Satria.

“Akibat pelanggaran itu, remaja perempuan itu telah memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua buah lagi kereta dari arah bertentangan.

“Pemandu proton Wira kemudiannya dipercayai telah mengheret mangsa ke kanan sejauh kira-kira 50 meter,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kata beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat manakala empat lagi pemandu kenderaan termasuk yang melanggar mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Azizan memberitahu, hasil semakan mendapati pemandu proton wira yang melanggar mangsa itu tidak mempunyai lesen memandu dan merupakan seorang penganggur.

“Sampel darah pemandu tersebut telah diambil untuk dianalisis di Jabatan Kimia dan kita telah merakam keterangan daripada kesemua saksi kemalangan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Terdahulu tular video berdurasi 5 minit 18 saat di media sosial memaparkan insiden tersebut dengan sekumpulan orang awam mengerumuni lokasi kejadian dan menghalang individu yang melanggar anggota APM itu melarikan diri. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu