Kuala Lumpur Post

Social

Anggota PGA maut, van dihempap pokok tumbang

LAHAD DATU — Seorang anggota Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu maut selepas van dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Gelugor, Felda Sahabat 16, di sini, petang Jumaat.

Kejadian jam 2.30 petang itu, Koperal Zeno Gungoh, 44, yang bertugas di cawangan pengangkutan BN 17 PGA Lahad Datu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah, lapor BH Online.

Mangsa juga bekas Unit Tindak Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pernah bertugas ketika peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 11 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Komtek Sahabat 16 PGA menuju ke arah pantai Sahabat 16.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebatang pokok yang berada di bahu kanan jalan raya tiba-tiba tumbang dan menghempap kenderaan jenis Window Van dipandu mangsa.

“Kejadian itu disaksikan oleh seorang anggota polis berpangkat Koperal yang menunggang motosikal Scrambler Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Kawasaki datang dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Mana-mana individu yang melihat kejadian ini boleh terus menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Sementara itu, Dzulbaharin berkata, beliau sangat berdukacita dengan kejadian yang menimpa anggota polis terbabit.