Social
264

Anggota polis cedera dilastik dengan batu ketika bertugas

Taiping – Seorang anggota polis yang sedang bertugas cedera pada mata kiri dan belakang kepala selepas dilastik dengan batu oleh seorang lelaki di Kampung Tersusun Sungai Kerang, Padang Gajah, Trong di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Datuk Anuar Othman berkata kejadian berlaku ketika mangsa dan rakan setugas dari Balai Polis Padang Gajah membantu pegawai penyiasat mengesan suspek yang terlibat dalam satu kes mendatangkan kecederaan.

“Apabila sampai di rumah suspek berumur 57 tahun itu pada kira-kira 8 malam, lelaki tersebut enggan memberi kerjasama dan tidak membuka pintu. Dia kemudian telah bertindak melastik batu bertubi-tubi ke arah mangsa sehingga terkena pada mata kiri dan belakang kepala.

“Akibat serangan itu, anggota terbabit rebah dan mengalami luka pada mata sebelah kiri dan belakang kepalanya. Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Kerang untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Taiping,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anuar, rakaman percakapan mangsa telah diambil dan suspek telah ditahan reman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata sebelum ini, satu laporan polis telah dibuat ke atas suspek berhubung kes mencederakan seorang pelajar berusia 14 tahun menggunakan topi keledar, Isnin lepas.

Sementara itu dalam perkembangan lain, seorang lelaki direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan ibu saudaranya dalam satu kejadian di Kampung Cina, Menglembu di sini petang semalam.

Perintah reman ke atas suspek berumur 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Semalam, seorang warga emas ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan pisau masih tertusuk di lehernya di sebuah rumah pada kira-kira 3 petang, dipercayai dikelar anak saudaranya sendiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih menyemak rekod kesihatan suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu