Social
278
0

Anggota polis cedera, motosikal ditendang mat rempit

Nibong Tebal – Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, di sini cedera selepas motosikal ditungganginya ditendang mat rempit yang mahu melarikan diri daripada ditahan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata polis menerima maklumat berhubung aktiviti lumba haram di simpang jalan Kampung Tanjung Berembang, di sini kira-kira jam 1 pagi sebelum anggota URB ke lokasi bagi melakukan pemantauan.

“Dua anggota URB ke lokasi dan didapati terdapat aktiviti seperti yang dimaklumkan namun sekumpulan penunggang motosikal berpecah selepas menyedari kehadiran polis.

“Anggota URB kemudian mengejar motosikal berkenaan hingga ke persimpangan Jalan Tok Tuntong, namun Konstabel Muhammad Aiman Nordin tahun terbabit kemalangan.

“Kejadian berpunca apabila seorang pembonceng berusia 16 tahun yang menunggang motosikal dengan rakannya bertindak menendang motosikal ditunggangi Konstabel Muhammad Aiman hingga menyebabkan hilang kawalan dan terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota polis berusia 20 tahun itu cedera tangan kanan, siku serta luka calar di muka.

“Konstabel Muhammad Aiman mendapat rawatan di Hospital Sungai Bakap (HSB) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Remaja lelaki yang menendang motosikal anggota URB berjaya diberkas sejurus insiden berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu