Kuala Lumpur Post

Social

Anggota polis didakwa rogol remaja bawah umur dalam kereta

IPOH — Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan merogol remaja perempuan yang juga pelajar Tingkatan 4, bulan lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Sharil Amir Shaari, 42, sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 16 tahun dalam sebuah kereta di kawasan tempat parkir hadapan pasar raya di Persiaran Seri Iskandar Prima 1, Seri Iskandar Prima, Seri Iskandar kira-kira jam 4 petang 12 Januari lalu.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalufah, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Qurratu’aini tidak menawarkan jaminan atas alasan kebimbangan tertuduh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dalam kes ini.

Bagaimanapun, Ahmad Shamil memohon jaminan RM5,000 mengambil kira tertuduh memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.

Ahmad Shamil berkata tertuduh yang sudah berkhidmat sebagai polis sejak 17 tahun lalu juga ditahan kerja sejak 5 Februari lalu, serta diminta melapor diri kepada ketua balai polis setiap Isnin dan Khamis sepanjang tempoh tahanan kerja.

Ahmad Shamil meminta mahkamah mengambil kira tertuduh yang menanggung isteri dan lima anak dengan pendapatan bersih RM2,000 sebulan, hanya menerima separuh daripada jumlah berkenaan disebabkan perintah tahan kerja itu.

Hakim menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala 25 Mac depan untuk sebutan semula kes.