Kuala Lumpur Post

Social

Anggota polis didakwa terima rasuah RM16,000

SHAH ALAM — Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM16,000, Februari lalu.

Azrol Khalil, 37, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan, termasuk satu pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Azrol didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM16,000 daripada seorang lelaki berusia 50 tahun sebagai dorongan untuknya selaku anggota polis menutup kes jenayah komersial terhadap individu yang sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Dia yang kini bertugas di bahagian pentadbiran didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Taman Prima, Sri Gombak, Batu Caves pada 7 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh di hukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh sebagai penjawat awam didakwa menerima suatu barang berharga atau wang tunai dengan jumlah yang sama pada tarikh dan lokasi sama tanpa sebarang balasan dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, PG Cyril memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya bergantung kepada pendapatan isteri untuk menyara keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM Selangor pada awal setiap bulan sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 28 Jun depan, lapor BH Online.

Tags: , ,