Social
726

Anggota polis direman minta rasuah tutup kes rogol

Chukai – Seorang anggota polis direman empat hari sehingga Khamis ini selepas disyaki meminta rasuah RM5,000 daripada seorang lelaki berkaitan kes rogol.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Mustapha, selepas membenarkan permohonan Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurdiana Zainal, bagi melengkapkan kertas siasatan.

Anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun yang bertugas di Dungun itu ditahan SPRM jam 3.15 petang semalam.

Dia ditahan di bandar Dungun selepas dipercayai menerima wang tunai berjumlah RM2,500 daripada seorang lelaki berusia 21 tahun.

Difahamkan, anggota itu meminta suapan berjumlah RM5,000 daripada lelaki berkenaan pada Rabu lalu untuk tidak memanjangkan dan melaporkan kes rogol lelaki berkenaan.

Anggota itu dikatakan bersetuju menerima sebahagian daripada wang suapan petang semalam sebelum ditahan.

Anggota terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu