Kuala Lumpur Post

Social

Anggota polis ditahan bersama dadah

KUALA TERENGGANU — Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM8,600 dalam serbuan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata serbuan dilakukan pasukan Cawangan Risikan atau Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada 12.45 tengah malam.

Beliau berkata hasil serbuan itu polis merampas pil yaba seberat 110.87 gram (g), syabu (5.42g) dan heroin (0.11g).

“Ujian air kencing mendapati anggota polis itu negatif terhadap dadah dan dia kini direman seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Khairi pihaknya memandang serius terhadap penyalahgunaan dadah dan jenayah dalam kalangan anggota polis yang boleh menjejaskan imej pasukan berkenaan.