Kuala Lumpur Post

Social

Anggota polis terima 7 jahitan cedera bergelut dengan penagih

GEORGE TOWN — Seorang anggota polis berpangkat konstabel menerima tujuh jahitan di tapak tangan kiri selepas bergelut dengan penagih dadah ketika serbuan Op Tapis di Teluk Kumbar pada Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, mangsa 28 tahun itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Barat Daya.

“Kejadian berlaku sekitar 4 petang ketika pasukan operasi menyerbu ‘port ketum’ di kawasan terbabit dan seorang penagih cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Anggota berkenaan cuba menahan suspek yang hendak melarikan diri, tetapi berlaku sedikit pergelutan menyebabkan dia terjatuh sehingga tapak tangan kirinya tertusuk kayu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Susulan insiden itu, beliau berkata, mangsa menerima tujuh jahitan dan dalam keadaan stabil serta diberi cuti sakit selama tiga hari.

Menurutnya, Op Tapis dijalankan serentak di seluruh negara mulai Isnin lalu dan berakhir semalam.