Kuala Lumpur Post

Nation

Anggota polis terima ‘angpau’ ketika bertugas adalah salah : KPN

PETALING JAYA — Pegawai atau anggota polis yang menerima sampul berisi wang atau angpau semasa waktu bekerja merupakan satu kesalahan, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Ini kerana, katanya mereka dibayar gaji setiap bulan, selain perlu mengelak salah laku jenayah.

“Melainkan mereka ini tidak bekerja (dalam polis) dan itu dibenarkan menerima angpau daripada rakan atau ahli keluarga sempena apa-apa perayaan.

“Polis mempunyai prosedur operasi standard. Setiap anggota polis yang keluar bertugas perlu diberi taklimat selama 15 minit oleh penyelia dan melakukan pemeriksaan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 21 dan Perasmian VSP 2.0 sempena Tahun Baharu Cina di Persada PLUS, Subang.

Razarudin berkata pemeriksaan itu antaranya melibatkan pemeriksaan jumlah wang saku dibawa anggota, pemeriksaan senjata api dan kereta peronda polis.

“Sebagai contoh, jika anggota polis itu dalam wang sakunya ada RM100, maka anggota berkenaan perlu membuat pengisytiharan di dalam buku, termasuklah apa sahaja barang yang dibawa anggota itu.

“Sekiranya anggota itu keluar bertugas membawa RM100, maka pulang bertugas pun mestilah RM100 juga, penyelia yang baik akan membuat pemeriksaan sebelum dan selepas bertugas.”

Katanya, perkara ini sudah ditegaskan kepada semua pesuruhjaya polis, ketua polis Negeri, daerah serta pegawai kanan polis di seluruh negara.

“Mereka perlu menentukan penyeliaan setiap pegawai dan anggota polis yang bertugas di pentadbiran masing-masing.”

Mengulas seorang anggota polis bertugas di sebuah balai polis Kuala Lumpur yang menyimpan wang tunai diragui sumbernya apabila selesai bertugas, Razarudin berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mempunyai maklumat dan sedang menyiasat kes itu.

Semalam, Pengarah JIPS Bukit Aman, Azri Ahmad dilaporkan berkata JIPS sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas seorang anggota polis dikesan menyimpan beberapa angpau mengandungi wang tunai diragui sumbernya dalam pemeriksaan di sebuah balai polis di ibu kota.

Mengenai perkembangan siasatan kenyataan Tony Pua yang didakwa menghina institusi diraja berkaitan pengurangan hukuman bekas perdana menteri, Najib Razak, Razarudin berkata kertas siasatan kes itu dijangka siap dalam tempoh terdekat.

“Siasatan kes akan disiapkan dalam tempoh tujuh hari, sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah kes itu masih dalam siasatan selepas keterangan Pua direkodkan Isnin lalu.