Social
232

Anggota tentera didakwa cabul remaja perempuan

Kuala Lumpur – Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang remaja perempuan di sebuah premis menjual vape di Taman Keramat di sini, bulan lepas.

Bagaimanapun, Zynetlee Von Zim, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Maizan Rahim.

Lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi maksud mencabul kehormatan remaja berusia 18 tahun di sebuah kedai vape di Taman Keramat, di sini, pada 1.28 tengah hari, 5 Okt lepas mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Zynetlee memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih menanggung keluarga di Sabah dan isterinya baru melahirkan anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali serta menetapkan 12 Jan 2022 untuk sebutan semula kes, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu