Nation
313

Annamah berusia 110 tahun, wanita tertua di Malaysia

Butterworth – Tanggal 31 Mac merupakan ulang tahun ke-110 kelahiran Annamah Abukutty namun usia bukan penghalang untuk wanita tertua di Malaysia itu terus menabur bakti kepada masyarakat.

Dilahir dan dibesarkan di Thachambadi, India, Annamah membawa bersama ilmu serta pengalaman berkaitan herba tradisional India semasa berhijrah ke Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua meletus.

Annamah kini menetap di Batu Gajah, Perak bersama kaum keluarganya yang terdiri daripada empat anak, 17 cucu dan tujuh cicit.

Anak lelakinya, M. Subramanian, 73, berkata meskipun sudah berusia lanjut dan agak uzur, penduduk kampung yang tinggal berhampiran serta pesakit sering mengunjungi beliau bagi mendapatkan nasihat untuk hidup lebih lama.

Selain perubatan herba, beliau berkata penduduk kampung sering mendapatkan khidmat ibunya sebagai bidan serta dalam bidang refleksologi dan tatu.

“Dia terkenal dengan panggilan Patti Annamah,” katanya kepada pemberita di sini.

Annamah kini terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda manakala mata kirinya hampir buta namun masih mampu bertutur dengan baik dalam Bahasa Tamil dan Melayu malah ingatannya masih tajam.

Subramanian berkata rahsia usia panjang ibunya termasuk berpuasa dan mengamalkan meditasi serta pengambilan herba yang ditanam sendiri.

Beliau berkata ibunya amat konsisten dengan rutin itu untuk membersihkan tubuh daripada toksin dan menjaga kesihatan.

“Dia juga berpuasa setiap Isnin bagi membuang toksin dalam tubuh namun amalan itu dihentikan kira-kira 15 tahun lepas,” katanya.

Cucu Annamah, S. Ezhilan yang berusia 41 tahun pula berkata herba dan perubatan tradisional yang digunakan neneknya boleh didapati dalam bentuk produk kesihatan di pasaran.

Ezhilan, yang melancarkan cawangan baharu It’s Super Solution Sdn Bhd di Jalan Raja Uda di sini hari ini, mula menjual produk kesihatan yang boleh dimakan untuk lelaki dan wanita selain minyak urut.

“Bahan kesemua produk ini diperbuat daripada herba tradisional yang dikutip sendiri oleh nenek dan ahli keluarga saya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records (MBOR) Christopher Wong hadir di cawangan itu untuk menyampaikan sijil rasmi MBOR kepada Annamah yang mengiktiraf beliau sebagai wanita tertua di Malaysia.

Wong berkata majlis penyerahan sijil itu diadakan sempena ulang tahun ke-110 kelahiran Annamah.

Beliau juga berkata sijil sama disampaikan kepada Annamah tahun lepas di ibu pejabat MBOR di Kuala Lumpur.

“Saya dimaklumkan bahawa beliau kini merupakan rakyat Malaysia tertua yang masih hidup,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu