Nation
101

Anwar beri keterangan lebih 1 jam

Kuala Lumpur – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini memberi keterangan lebih satu jam di Bukit Aman berhubung siasatan klip audio dikatakan antara beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang tular baru-baru ini.

Anwar keluar dari perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada jam 11.24 pagi ditemani peguamnya, Sankara N Nair dan Ramkarpal Singh Deo, sebelum bertemu media.

“Saya dipanggil sebagai saksi dalam kes audio yang didakwa percakapan antara saya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

“Saya beri kerjasama kepada polis yang menggunakan peruntukan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

“Soalnya saya tidak tahu sama ada ia kes rasuah, ugutan atau jenayah tapi saya beri kerjasama, Saya beritahu kalau ada pendakwaan, saya akan beri keterangan lengkap,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang berkemeja biru muda tiba di Bukit Aman pada jam 9.58 pagi menaiki sebuah kereta jenis Jaguar hitam.

Beliau juga Ketua Pembangkang, turut membangkitkan beberapa isu dalam keterangan kepada pihak berkuasa.

“Antaranya mengapa isu seperti ini mahu dijadikan isu politik Apa kaitan dengan kemelesetan ekonomi, kegawatan politik dan penyalahgunaan kuasa.

“Satu lagi selalu ada dua darjat, darjat pemimpin dengan orang bawah dalam hukuman, pendakwaan dan penyiasatan.

“Terkini ada penyebaran audio yang didakwa suara Menteri Dalam Negeri mengenai mengatur ‘orang kita’ sebagai pegawai kanan dan tertinggi polis.

“Jadi saya nak tanya sekali lagi, apakah ada siasatan dalam kes seperti ini yang jauh lebih serius melanggar peraturan walaupun ada jaminan beliau (menteri) tidak campur tangan dalam urusan ini,” katanya.

Rakaman audio perbualan dua individu yang didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tular sejak awal bulan ini.

Audio berdurasi empat minit 17 saat itu antara lain memperdengarkan suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menerusi panggilan telefon.

Menerusi rakaman sama, Anwar dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat, selama 22 tahun. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu