Nation
152
0

Anwar mohon Agong batal darurat

Kuala Lumpur – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua ahli parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah untuk membatalkan Pengisytiharan Darurat dan menitahkan sidang Parlimen dalam kadar segera.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau memaklumkan sudah menghantar surat kepada semua ahli parlimen untuk berbuat demikian.

Katanya, dalam surat berkenaan, dia mencadangkan kepada semua ahli parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera.

“Warkah tersebut juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan semua Yang Berhormat atau parti.

“Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik Pengisytiharan Darurat dan seterusnya menitahkan agar Sidang Parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari 2021 untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menyertakan salinan surat berkenaan untuk rujukan pihak media.

Di dalam surat itu, beliau berkata, cadangan dikemukakan Perdana Menteri adalah tanpa keabsahan dengan penyusutan jumlah ahli parlimen yang menyokong kerajaan.

“Ahli-ahli Yang Berhormat tidak mempertikai langkah munasabah yang diambil bagi menangani wabak Covid-19.

“Namun majoriti ahli Yang Berhormat menggesa agar Belanjawan 2021 harus menumpukan isu kesihatan, kelengkapan termasuk peruntukan setiap petugas barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan),” katanya.

Anwar berkata, cadangan membentuk jawatankuasa bersama sudah diutarakan oleh ramai ahli Yang Berhormat sejak Mac tahun lalu.

“Ia tidak memerlukan darurat. Kemelut ekonomi amat memprihatinkan manakala jumlah pengangguran, kemiskinan dan kesenjangan bertambah.

“Darurat pastinya akan menyebabkan kedudukan ekonomi tambah meruncing,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu