KUALA LUMPUR — Dua kenderaan, masing-masing membawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution memasuki Istana Negara sekitar jam 4.08 dan 4.11 minit petang tadi.
Terdahulu, dua kenderaan dipercayai membawa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, turut dilihat memasuki pintu dua Istana Negara, petang ini.
Mereka dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkaitan isu pelantikan Perdana Menteri ke-10.
Sementara itu, difahamkan pasukan produksi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah berada dalam Istana Negara. Pasukan itu diminta untuk bersiap sedia bagi membuat liputan, namun setakat ini masih belum mendapat ‘lampu hijau’ untuk berbuat demikian, lapor BH Online.