Nation
337

Aset 1MDB RM20.53 bilion dipulangkan kepada kerajaan Malaysia

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa setakat ini berjaya memulangkan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah lebih RM20.53 bilion kepada kerajaan Malaysia.

SPRM memaklumkan, badan itu kini giat meneruskan pemulihan aset dana 1MDB dalam dan luar negara termasuk di Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.

Terbaharu menurut suruhanjaya itu, pada 12 November lalu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset milik Kementerian Kewangan berjumlah AS$864,813.27 (hampir RM3.62 juta).

“Sebelum ini, kerajaan Singapura turut membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta (RM64.42) kepada Malaysia, membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

“Pada ketika ini juga, SPRM sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus dan Hong Kong, membabitkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan ketika ini, memfokuskan kepada pihak yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC ketika menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui pembabitan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi syarikat berkenaan.

Menurut kenyataan itu, semua yang terbabit akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui pembabitan dalam 1MDB dan/atau SRC, lapor BH Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu