Nation
137

Asia perlu teraju langkah buka perlindungan paten untuk hasilkan ubatan penting selamatkan nyawa : PM

Kuala Lumpur – Asia harus menerajui langkah membuka perlindungan paten bagi menghasilkan versi generik ubat-ubatan penting yang lebih murah untuk menyelamatkan nyawa, khususnya bagi penyakit kritikal dari COVID-19 hingga HIV/Aids, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang menyambut baik kenyataan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang menyatakan hasrat menyokong usaha mengetepikan sementara perlindungan harta intelek (IP) bagi vaksin COVID-19 berkata, langkah itu seharusnya membuka laluan ke arah transformasi penuh sistem paten farmaseutikal.

“Menghentikan ia buat sementara tidak memadai. Kewajipan kita adalah untuk mengetepikan ia secara keseluruhan,” katanya dalam ucapan yang disempaikan menerusi rakaman video di persidangan Nikkei’s Future of Asia di Tokyo, hari ini.

Muhyiddin berkata berdasarkan kepada Artikel 25(1) Universal Declaration of Human Rights, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sudah tiba masanya bagi inovasi-inovasi ini termasuk ubat-ubatan, vaksin dan peralatan perubatan dibawa keluar dari ruang lingkup hak paten individu, dan sebagai gantinya hak milik harta global seharusnya diwujudkan.

Bagi membolehkan Asia mencegah dan melawan pandemik dengan lebih efektif, beliau berkata ia perlu beralih daripada pendekatan nasionalisme semata-mata, kepada perkhidmatan kesihatan untuk pelaburan dalam kesihatan sebagai kebaikan awam global.

“Dengan menguruskan infrastruktur kesihatan sebagai kebaikan awam global, ia bermakna Asia secara keseluruhannya, menguruskan kesihatan dengan cara bagaimana banyak negara secara sendiri menguruskan isu pendidikan, keselamatan dan alam sekeliling mereka. Hakikatnya ia sebagai bahagian kritikal persamaan global yang disokong oleh pelaburan kolektif demi kepentingan semua,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa jangkitan COVID-19 harus ditangani secepat mungkin untuk mencegah varian mutasi yang menjadikan vaksin semasa menjadi tidak lagi berkesan, namun beliau sedar dengan kewujudan rintangan ciptaan manusia untuk mencapai usaha ini.

“Contohnya 27 negara kaya mempunyai 35.5 peratus vaksin ini, walaupun ia hanya meliputi 10.5 peratus daripada penduduk dunia. Negara-negara ini mempunyai dos vaksin yang cukup untuk mengimunkan penduduk melebihi jumlah penduduknya,” kata Muhyiddin.

Bukan itu sahaja, Muhyiddin berkata 20 peratus atau 252 juta daripada 1.23 bilion dos yang diberikan kepada orang ramai di 174 negara setakat ini, adalah di Amerika Syarikat sahaja.

Dari segi pengeluaran pula, beliau berkata China dan India mengeskport masing-masing kira-kira 200 juta dan 66 juta dos vaksin, sekitar 48 peratus dan 34 peratus daripada jumlah pengeluaran masing-masing.

“Sebagai perbandingan Amerika Syarikat dan United Kingdom hanya mengeksport tiga juta dan sejuta dos vaksin mereka masing-masing, atau hanya sekadar 1.1 peratus dan empat peratus jumlah pengeluaran keseluruhan masing-masing” katanya. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu