Nation
12K

‘Aunty Meenachi‘ meninggal dunia, Melaka hilang ikon dondang sayang, berpantun

Melaka – “Bakat mak dalam berpantun memang semula jadi, boleh jual beli pantun secara spontan. Sayang, tiada antara kami yang mewarisinya.”

Demikian cerita Amuda Pillay, 55, anak kelima mendiang ikon dondang sayang daripada Etnik Chetti di Melaka, G. Meenachi yang meninggal dunia malam semalam pada usia 91 tahun.

Jelas Amuda, ibunya yang lebih dikenali dengan panggilan Aunty Meenachi itu, hingga akhir hayatnya masih hebat berpantun, malah bijak menyesuaikan persembahan pantun dengan penonton yang hadir.

“Beberapa bulan lepas, mak ada masuk hospital. Masa itupun pantang ada yang menjual pantun, dia masih mampu membelinya dengan baik,” katanya yang ditemui pemberita di Kampung Chetti di sini hari ini.

Berkongsi cerita, Amuda berkata ibunya yang mewarisi bakat itu daripada keluarganya, didedahkan kepada seni pantun dan dondang sayang pada usia 10 tahun.

“Ibunya merupakan pemain rebana dan bapanya adalah pemain muzik dan minat yang diasah itu telah meningkatkan kemahiran mak dalam berpantun sehinggalah pernah mendapat bimbingan daripada penggiat dondang sayang terdahulu, Baba Kim Teck,” katanya.

Menurut Amuda, mendiang juga pernah beberapa kali menerima sumbangan daripada kerajaan negeri serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Melaka atas jasa dan pengorbanan memartabatkan kesenian pantun, antaranya sumbangan Penggiat Seni Dondang Sayang bersempena Panggung Seni Tradisional Cak Kun Cak pada 2019.

Bercerita lanjut, Amuda berkata ibunya yang dilahirkan pada 4 Jan 1930 dan amat fasih berbahasa Melayu itu juga bagaikan ‘ensiklopedia’ tertua berkaitan budaya dan adat bagi masyarakat di Kampung Chetti.

“Kalau hal mengenai kerja kahwin, kematian, kelahiran atau apa saja berkaitan adat Chetti, mereka akan merujuk kepada mak bagaimana hendak melakukannya.

“Malah mak sendiri sangat menjaga penampilannya yang dapat dilihat daripada cara dia bersanggul, berkain batik serta pemilihan baju yang hendak digayakan dan ia menjadi contoh pada yang lain,” katanya.

Mengulas mengenai pengebumian mendiang, Amuda menjelaskan keluarganya masih menanti kebenaran daripada pihak hospital.

“Masih ada beberapa prosedur yang perlu dilakukan. Bagi pengebumian mengikut adat Hindu, upacara pembakaran perlu diadakan antara 1 tengah hari hingga 3 petang ini. Bagaimanapun jika tidak sempat, kita akan lakukan esok selepas minta nasihat daripada pihak kuil,” katanya.

Mendiang disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka pada 7.18 malam semalam akibat sakit tua. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu