Kuala Lumpur Post

Nation

Ayob Khan sedia disiasat jika ada dakwaan salah laku

KUALA LUMPUR — Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata beliau bersedia untuk disiasat jika terdapat sebarang dakwaan salah laku yang membabitkan dirinya.

Katanya beliau sedar terdapat pelbagai tomahan dan tuduhan dilemparkan ke atas dirinya berikutan pendirian tegas beliau dalam melaksanakan tugas sebagai ‘orang nombor dua’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sila siasat (saya) dan siasat juga semua anggota keluarga saya, saya tiada masalah,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam forum integriti sempena sambutan Hari Integriti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) 2023 di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai tuduhan dan tomahan berkenaan.

Beliau bersama Pencetus Ummah (PU) Amin, atau nama sebenarnya Muhammad Amirul Amin Lokman Hakim merupakan panel jemputan forum berkenaan yang dikendalikan oleh Shamsul Azahar Aliddin sebagai moderator.

Ayob Khan berkata setiap pemimpin perlu ada keberanian untuk menegur atau mengambil tindakan ke atas petugas di bawah seliaannya, dan jangan hanya kerana mahu disanjung atau kekal popular, tanggungjawab sebenar diketepikan.

“Jika ada salah laku melibatkan pegawai atau anggota terutama rasuah, saya tidak akan bertolak ansur dan tindakan pasti akan diambil. Selagi saya diamanahkan dengan tanggungjawab sedia ada, saya akan tunaikan,” katanya.

 

Tags: , ,