Nation
565

“Ayuh, kita menggilap kekuatan atas landasan perpaduan” : Azmin Ali

Kuala Lumpur – Usaha rangsangan ekonomi yang telah diperkenalkan serta penting untuk mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mewujudkan pekerjaan baharu serta menarik lebih banyak pelaburan langsung asing akan terus giat dilaksanakan, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin dilantik sebagai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menganggotai barisan Jemaah Menteri di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat.

Dalam kenyataan, Mohamed Azmin berkata ketika negara berusaha ke arah pemulihan, kerajaan harus memastikan rakyat memiliki sumber yang diperlukan untuk mencapai darjat ekonomi selain menyertai secara aktif dan memperoleh semula manfaat daripada pertumbuhan rancak negara.

“Justeru, dasar sosioekonomi kita perlu berani dari segi perancangan dan penyampaian untuk menjana kekayaan kepada rakyat, supaya kemakmuran itu diagihkan secara adil,” katanya.

Beliau berkata susulan kadar vaksinasi COVID-19 Malaysia yang terus menjadi antara yang terpantas di dunia dan jumlah kes kemasukan ke hospital telah menurun maka, usaha tanpa jemu, dedikasi, kerja keras serta daya tahan yang tinggi seluruh petugas barisan hadapan amat dihargai.

Semua pihak perlu memastikan momentum ini berterusan dan ekonomi negara terus mara di atas pertumbuhan dan pemulihan yang mampan, katanya.

Mohamed Azmin juga berkata golongan muda melambangkan masa depan negara, memandangkan mereka menggerakkan dinamisme, inovasi dan kreatitiviti yang merupakan elemen penting untuk memacu pembangunan negara menuju barisan hadapan dalam peta dunia.

“Ayuh, kita menggilap kekuatan atas landasan perpaduan, membangunkan kekuatan dan asas kebersamaan kita, memperkukuh gerak kerja ke arah kejayaan dan kemajuan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada perdana menteri atas pelantikan tersebut dan mengulangi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan selain terus komited memastikan pemulihan yang mampan pengukuhan pertumbuhan ekonomi, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu