Nation
312

Azmi Abu Kassim dilantik Ketua Polis KL baharu

Kuala Lumpur – Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Azmi Abu Kassim akan dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur menggantikan Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

Pelantikan itu adalah antara 71 pertukaran pegawai kanan polis yang akan berkuat kuasa 12 April ini.

Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Superintendan A Skandaguru, berkata Saiful Azly akan bertukar Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Idris Abdullah akan mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan Azmi.

“Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed akan dilantik Ketua Polis Selangor dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

“Timbalan Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Urus Setia Pejabat KPN Bukit Aman, Datuk Dr Lee Bee Phang bertukar Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman dengan memangku pangkat CP.

“Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Taufek Abdullah pula akan menjawat jawatan Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP),’ katanya dalam kenyataan, malam ini.

Skandaguru berkata, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki akan mengisi kekosongan ditinggalkan Arjunaidi dengan memangku pangkat DCP.

“Jawatan lama Sharul pula akan diambil alih Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah.

“Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal turut akan bertukar ke Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dengan memangku pangkat SAC,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu