Nation
372

Azmin Ali mohon batal saman 10 pengundi Parlimen Gombak

Kuala Lumpur – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

Pengundi terbabit memfailkan saman pada 27 November tahun lalu terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun lalu.

Mohamed Azmin memfailkan permohonan membatalkan saman itu menerusi Tetuan Zharif Nizamuddin atas alasan saman berkenaan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah serta bertentangan atau ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan itu dibuat atas alasan tuntutan saman berkenaan bertujuan melanggar hak asasi defendan iaitu kebebasan berpersatuan seperti diperuntukkan mengikut Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan yang mana mahkamah tidak harus memberikan bantuan atau pertolongan kepada apa-apa tuntutan secara jelas dan terang-terangan melanggar perlembagaan itu.

Peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Mohamed Azmin ketika dihubungi berkata, mahkamah mengarahkan anak guamnya memfailkan afidavit sokongan sebelum atau pada 24 Mac ini.

“Mahkamah juga menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Maslinda Selamat, hari ini.

Semua 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak itu memfailkan saman pada 27 November tahun lalu terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun lalu.

Pernyataan tuntutan mereka menyebut semua plaintif berusia lingkungan 36 hingga 64 tahun, memohon antara lain pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, melanggar kewajipan fidusiarinya, menipu dan memungkiri representasi dibuat kepada mereka pada pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Pengundi itu mendakwa dengan memungkiri representasi berkenaan, defendan melanggar hak Perlembagaan terutama prinsip demokrasi berparlimen dan demokrasi perwakilan yang membentuk sebahagian struktur asas Perlembagaan.

Oleh itu, semua plaintif memohon deklarasi bahawa defendan melanggar kewajipan fidusiarinya dan tugas yang terhutang kepada plaintif, selain melakukan penipuan terhadap mereka serta menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos serta perintah lain difikirkan wajar oleh mahkamah. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu