Nation
5K

Azmin gagal batal saman 10 pengundi Gombak

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman yang dikemukan oleh 10 pengundi kawasan itu yang mendakwa beliau menipu dan melanggar tanggungjawab fidusiari sebagai Ahli Parlimen.  Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu melalui prosiding dalam talian hari ini.

Peguam N. Yohendra, yang mewakili pengundi berkenaan, mengesahkan perkara itu kepada media melalui pesanan WhatsApp, berkata hakim menetapkan pada 7, 8, 9 dan 10 Jun 2022 bagi perbicaraan kes saman itu manakala 7 April 2022 ditetapkan untuk pengurusan kes.

“Hakim menolak permohonan Mohamed Azmin dan juga permohonan kami untuk membatalkan pernyataan pembelaan Ahli Parlimen Gombak itu dengan kos dalam kausa. Hakim berkata kes saman itu perlu dijalankan secara perbicaraan penuh,” kata peguam itu.

Pada 12 Mac lalu, Mohamed Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah serta bertentangan atau ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berpendapat tuntutan saman itu melanggar hak asasi defendan iaitu kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 27 Nov tahun lepas, 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak itu telah memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lepas.

Pernyataan tuntutan mereka menyebut kesemua plaintif, berusia lingkungan 36 dan 64 tahun, memohon antara lain pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu