Nation
192

Bajet 2022 beri jaminan warga kerja terutama belia : Saravanan

Kuala Lumpur – Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini disifatkan sebagai bajet yang memberi keyakinan kepada rakyat, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata peruntukan besar sebanyak RM4.8 bilion bagi mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun hadapan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), dilihat memberi jaminan kepada warga kerja khususnya golongan belia.

“Kalau kita lihat selama dua tahun ini, segala peruntukan fokus kepada memerangi COVID-19 dan sebagainya, tapi kali ini harapan rakyat begitu tinggi supaya kita ke arah pemulihan.

“Kita lihat dalam keadaan seperti ini walaupun di peringkat awal kadar pengangguran di Malaysia adalah 5.3 peratus tetapi dengan pelbagai usaha dan peruntukan, kita dapat mengurangkan kepada 4.8 peratus. Saya percaya dengan peruntukan RM4.8 bilion ini akan mengurangkan lagi kadar pengangguran ke bawah empat peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Ditanya mengenai sektor yang akan diberi tumpuan bagi mewujudkan peluang pekerjaan, Saravanan berkata pihaknya melihat secara keseluruhan kerana cabaran pada hari ini bukan sahaja kepada isu pemulihan ekonomi malah pembangunan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Mungkin ada peluang perniagaan baharu (yang boleh diteroka). Selain daripada itu dengan keadaan pemulihan ini kita perlu menambah ilmu kemahiran dalam kalangan warga pekerja, mungkin peluang pendidikan sedia ada akan jadi tidak relevan dalam masa lima tahun akan datang.

“Maka dengan peruntukan begitu besar ini, kita menyediakan bukan sahaja untuk pemulihan ekonomi tetapi menyediakan tenaga kerja menjadi kompeten untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata peruntukan RM1.1 bilion bagi program pemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) juga dilihat akan memberi kesan positif yang akan menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran di negara ini.

Selain itu, Saravanan berkata peruntukan RM80 juta di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga memberi peluang tambahan untuk golongan wanita terutamanya suri rumah yang terkesan akibat COVID-19, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu