Nation
169

Bajet 2022: Kerajaan perlu tangani ketirisan, tidak perlu perkenal cukai baharu

Kuala Lumpur – Kerajaan diharapkan tidak memperkenalkan cukai baharu dalam pembentangan Bajet 2022 untuk meningkatkan hasil negara tetapi harus menangani isu ketirisan dengan memperketatkan kawalan perbelanjaan bagi mencegah rasuah.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kerajaan dijangka membentangkan belanjawan defisit pada Bajet 2022.

Beliau berkata rasuah telah menyebabkan negara kehilangan kemasukan pelaburan yang banyak kerana keyakinan pelabur menurun disebabkan kelebihan diberikan kepada pihak-pihak tertentu.

“Rasuah juga menyebabkan negara kerugian lebih empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau sekitar RM64 bilion setiap tahun.

“Sekiranya ia dikawal dengan baik, tiada sebab kerajaan perlu memperkenalkan cukai baharu kerana hasil daripada pengawalan tersebut akan membolehkan ia dibelanja bagi mendapat hasil yang sama,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.

Ahmed Razman berkata sekiranya harga komoditi seperti minyak, minyak sawit mentah dan getah berada pada kadar yang tinggi seperti sekarang dan berterusan hingga tahun depan, hasilnya sudah mencukupi untuk membiayai bajet tersebut sekiranya tidak berlaku banyak ketirisan.

Beliau turut menjangkakan akan terdapat banyak insentif yang akan diberikan pada Bajet 2022 kerana kali ini ia adalah istimewa, selain daripada pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), ia mungkin boleh menjadi belanjawan pilihan raya.

“Sekiranya pilihan raya umum akan diadakan pada tahun depan (2022) dan undi 18 dilaksanakan maka ia akan membentuk belanjawan populis…ini akan menjadi masa untuk memberi ‘gula-gula pilihan raya’,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai RMK12 yang dijangka akan membelanjakan kira-kira RM400 bilion selama lima tahun sehingga 2025 atau RM80 bilion setahun, beliau berkata ia merupakan perbelanja pembangunan, jumlahnya amat besar dan tidak pernah dibelanjakan sebelum ini, katanya.

“Malaysia masih belum keluar sepenuhnya daripada krisis pandemik COVID-19 dan bakal memasuki fasa endemik…jadi pemulihan itu penting. Walaupun sektor ekonomi telah dibuka semula tetapi pemulihan akan mengambil masa dan ia tidak akan pulih dengan serta-merta.

“Belanjawan harus mengambil kira perkara ini, bukan semua individu mampu bangkit dengan pantas,” katanya.

Apabila berlaku krisis ekonomi, golongan kaya atau berpendapatan isi rumah 20 peratus teratas (T2) akan lebih cepat bangkit daripada golongan lain.

Menurut majalah Forbes baru-baru ini, 50 orang yang terkaya di Malaysia meningkat kekayaannya sebanyak 14 peratus semasa pandemik bagaimanapun pada masa yang sama gaji purata rakyat Malaysia jatuh sembilan peratus, katanya lagi.

Selain itu, Ahmed Razman turut menekankan keperluan pemantauan yang cekap seperti yang dilakukan Unit LAKSANA, Kementerian Kewangan berkonsep lebih telus dan bertanggunjawab.

“Kita lihat beberapa perubahan telah berlaku tetapi yang penting momentum perlu ada dan perlu diiringi komitment berterusan kerajaan untuk memastikan usaha tidak terkandas di pertengahan jalan dan lebih membimbangkan seandainya tindakan ‘hijack’ (dirampas) oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata beliau berharap dapat melihat belanjawan berbeza dan mempunyai kelainan untuk melengkapi RMK12.

“Sekarang adalah waktu terbaik untuk membawa perubahan drastik selepas negara dilanda pandemik. COVID-19 ini daripada satu sudut membawa kemusnahan kepada banyak benda dan pada masa sama membawa ruang kepada perubahan,” katanya.

Bajet 2022 adalah bagi memperlihatkan komitmen kerajaan tentang hala tuju dan penjelasan daripada kerajaan bagaimana wang negara dibelanjakan.

Melihat kepada mereka yang terkesan daripada dasar pelaksanaan kerajaan, tidak boleh dinafikan kerajaan Malaysia adalah antara negara yang mempunyai terlalu banyak dasar, kadangkala bertindan dan berlapis, kata Madeline.

“Isu pelaksanaan perlu diberi perhatian serius, berlaku kelemahan dalam pemantauan, kebocoran sering berlaku diperingkat pelaksanaan bukan perancangan,” katanya lagi, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu