Social
319
0

Bakal pengantin dikhuatiri lemas, kenduri tetap diteruskan

Marang – Keluarga pihak pengantin perempuan tetap meneruskan kenduri perkahwinan hari ini walaupun bakal pengantin lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian di Pantai D’ Marang Village, Kelulut semalam.

Ismail Awang, 61, berkata anaknya Fatin Nabilah Huda, 27, dijadual bernikah dengan Naim Hariri Kamaruddin, 31, pada jam 10 pagi tadi di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung dan kenduri pula diadakan dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

“Namun, detik istimewa buat anak saya tidak berjalan seperti dirancang kerana Naim Hariri dikhuatiri lemas semalam, kami sekeluarga reda dengan takdir yang menimpa namun, kenduri tetap diteruskan hari ini kerana ramai tetamu sudah datang sejak 10 pagi,” katanya ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung di sini.

Tinjauan Bernama mendapati Ismail dan keluarga kelihatan tenang ketika melayan tetamu yang datang menzahirkan simpati sebaik mengetahui tragedi itu.

Semua persiapan seperti pelamin dan barang hantaran terhias indah malah kenduri perkahwinan itu juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan COVID-19 seperti membuat pemeriksaan suhu badan dan merekod butiran tetamu yang datang melalui aplikasi MySejahtera.

Ismail berkata mengikut perancangan, selepas majlis pernikahan berlangsung hari ini, kenduri menyambut menantu akan diadakan pihak keluarga lelaki di Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun hadapan.

“Saya sempat berjumpa Naim Hariri ketika dia datang ke rumah untuk melihat persiapan terakhir kenduri pada pagi semalam. Tak sangka pula ini yang berlaku.

“Memang sedih sangat dengan apa yang berlaku kerana terjadi hanya sehari sebelum majlis pernikahan berlangsung. Saya harap anak akan terus kuat semangat dan semoga Naim Hariri dapat ditemukan secepat mungkin,” katanya.

Naim Hariri, yang beralamat di Kuala Lumpur dikhuatiri lemas selepas dipercayai hilang ketika mandi laut di pantai itu petang semalam

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih gagal menemui petunjuk baharu setakat 10 pagi tadi. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu